SOALAN : Saya mempunyai sedikit kemusykilan mengenai sujud tilawah ataupun dipanggil sujud sajadah. Tolong ustaz terangkan maksudnya.
JAWAPAN : Tilawah ertinya bacaan dan sujud sejadah itu ialah perbuatan sujud apabila seseorang itu bertemu ayat sajadah dalam bacaan al-Quran sama ada di dalam solat ataupun di luar solat. Orang yang mendengar juga dituntut sujud apabila mendengar ayat sajadah. Ini bermaksud, orang yang dituntut sujud ialah orang yang membaca ayat sajadah dalam solat, orang yang membacanya di luar solat, orang yang mendengar tidak dalam solat dan tidak membaca. Ketiga-tiga keadaan ini dituntut sujud tilawah.
Jika seseorang itu membaca al-Quran bersendirian dan sampai pada ayat sujud tilawah hendaklah dia sujud. Manakala jika seorang imam membaca ayat sajadah lalu apabila sampai pada ayat sajadah dia pun sujud, maka wajib bagi makmum mengikut imam dalam sujud.
Dalam tertib sujud pula disunatkan bertakbir sebelum sujud dengan tidak mengangkat kedua tangan dan hendaklah memelihara adab ketika sujud seperti mana sujud dalam solat. Bacaan yang disunatkan dalam sujud sejadah ialah Allahumma laka sajdtu wa bika aamantu, wa laka aslamtu, sajada wajhiya lillazi khalaqahu wa sawwarahu, wa syaqqa sam'ahu wa basarahu wa quwwatihi, fa tabarakallahu ahsana al-Khaliqin.
Di sini suka saya jelaskan makna bagi bacaan sujud tilawah. Doa qunut yang bermaksud: Wahai Tuhan, kepada-Mu jualah aku sujud, dengan-Mu jualah aku beriman dan kepada-Mu lah aku berserah, telah sujud wajahku kepada yang telah menciptanya, yang telah memberi rupa baginya dan telah memberi pendengaran dan penglihatan dengan kehendak-Nya dan dengan kekuatan-Nya, Tuhan yang penuh limpah keberkatan-Nya telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.
Adapun syarat sujud bagi mereka yang di luar solat adalah seperti berikut; pertamanya suci daripada hadas kecil dan hadas besar, keduanya; menutup aurat, ketiganya; berniat untuk sujud tilawah, keempatnya; menghadap kiblat, kelimanya; takbiratulihram dan takbir bagi sujud, keenam; memberi salam.
Sekiranya terdapat halangan yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat sujud, seperti berhadas kecil, dalam kenderaan atau mendengarnya dari corong masjid, maka diharuskan mengucapkan: SubhanAllahi walhamdulillahi, wa laa Ilaha illahi, wallahu akbar.
Bagi yang menjadi makmum pula, hendaklah mengikut imam, sekiranya imam tidak sujud pada ayat sajadah, sama ada sengaja atau pun tidak maka makmum juga tidak boleh sujud bersendirian. Makmum wajib mengikut imam selagi mana imam tidak tertinggal atau meninggalkan rukun dalam solat.
Memandangkan sujud tilawah adalah sunat muakkad, maka makmum tidak boleh melakukan sesuatu perbuatan yang menyanggahi imam.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW telah bersabda: Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, "kecelakaan ke atas aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut mazhab al-Syafieyyah, hukum sujud sajadah adalah sunat muakkad, atau sunat yang amat digalakkan. Manakala mazhab al-Hanafiyyah mewajibkan sujud sajadah.
Daripada Umar r.a.: Pada suatu hari Jumaat, dia (Rasulullah SAW) membaca surah al-Nahl di atas mimbar, maka ketika sampai pada ayat Sajdah, dia lalu turun dan sujud. Dan para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada hari Jumaat berikutnya, dibacanya surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat Sajdah dia berkata: Wahai manusia, sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi barang siapa bersujud, dia telah melakukan yang benar. Dan barang siapa yang tidak melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa. (riwayat al-Bukhari dan Muslim, al-Syawkani, Nail al-Awtar, jld:2, hlm:100 )
Ayat-ayat sujud sajadah mengikut al-Syafieyyah ada 14 kesemuanya:
Surah 7 (al-A'Raaf) ayat 206
Surah 13 (ar-Ra'd) ayat 15
Surah 16 (al-Nahl) ayat 50
Surah 17 (al-Isra') ayat 109
Surah 19 (Maryam) ayat 58
Surah 22 (al-Hajj) ayat 18
Surah 22 (al-Hajj) ayat 77
Surah 25 (al-Furqaan) ayat 60
Surah 27 (an Naml) ayat 26
Surah 32 (as-Sajdah) ayat 15
Surah 41 (Fushshilat) ayat 38
Surah 53 (an-Najm) ayat 62
Surah 84 (al-Insyiqaq) ayat 21
Surah 96 (al-'Alaq) ayat 19
Adapun bacaan ayat daripada surah Shaad ayat 24 menurut Syafi'iyah dan Hanbaliyah tidak termasuk ayat yang dituntut sujud, tetapi ayat itu adalah ayat yang disunatkan untuk sujud syukur. Hal ini dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bermaksud: Shaad tidak termasuk dalam tuntut sujud (iaitu ayat 24), sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah SAW sujud padanya, lalu baginda bersabda: telah sujud Daud as dalam ayat sebagai taubat kepada Allah swt, manakala kita sujud sebagai tanda syukur kepada Allah. (riwayat al-Bukhari, no:1069, jld:3, hlm:257)
Untuk mengenali ayat-ayat Sajdah itu di dalam al-Quran, pada kebiasaannya pada ayat-ayat itu ada ditandakan dengan garis atau di penghujung ayat itu ditandakan simbol dengan tertulis perkataan sajadah.
Walau bagaimanapun bagi solat yang dibaca dengan suara perlahan, umpamanya solat Zuhur, sujud tilawah itu sunat dibuat oleh imam setelah dia selesai menunaikan solat supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan makmum.
Adalah tidak perlu untuk seseorang itu bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) apabila hendak melakukan sujud sajadah di luar solat. Namun begitu, apabila seseorang itu sedang berdiri, maka perlulah dia bertakbiratulihram di kala qiam, lalu sujud, duduk, dan salam.
SOALAN : SAYA tinggal di sebuah kawasan perumahan yang rata-rata penduduknya bekerja makan gaji. Alhamdulillah di surau kami pada setiap Subuh Jumaat, imamnya akan membaca surah Alif Lam Mim Sajdah. Persoalan saya, adakah wajar surah itu dibaca setiap pagi Jumaat walhal ada ketikanya waktu Subuh agak lewat iaitu pukul 6 atau 6.05 pagi menyebabkan makmum tergopoh-gapah selepas selesai salam untuk ke pejabat?
JAWAPAN : SEPOTONG hadis daripada Abu Hurairah r.a. yang telah memberitahu bahawa: Rasulullah SAW akan membaca surah Alif Lam Mim dan surah al-Insan pada solat fajar pada hari Jumaat."(riwayat al-Bukhari, no:891, jld:3, hlm:33 ).
Dalam menjelaskan kandungan ayat hadis ini Ibnu Daqiq al-Aed berpendapat: Hadis ini tidaklah bermaksud mesti membaca kedua-dua surah itu secara berterusan. Seorang ulama yang bernama al-Qarafiy di dalam kitabnya, Fawaid al-Mhazzab menjelaskan bahawa: "Sekiranya waktu tidak mengizinkan untuk membaca surah Sajdah maka hendaklah dibaca beberapa ayat yang ada padanya sajadah."
Setelah meneliti hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama dapatlah disimpulkan bahawa membaca surah Sajdah iaitu Alif Lam Mim dan surah al-Insan adalah sunat muakkad, maksudnya sunat yang dituntut. Maksudnya masih lagi dalam kategori sunat, ini tidaklah bermaksud boleh ditinggalkan begitu sahaja. Dalam hal ini imam surau atau masjid mestilah memahami keadaan makmum. Baginda pernah mengingatkan para imam agar jangan memanjangkan bacaan khuatir ada di kalangan makmum yang mempunyai hajat untuk ditunaikan, mungkin juga ada orang tua yang tidak berdaya, termasuklah warga yang ingin berkejar ke tempat kerja.
Semua ini perlu dipertimbangkan agar solat itu sempurna. Sekiranya subuh lambat, masuk waktu pukul 6.05 minit, azan lima minit, tunggu makmum 10 minit, sudah 15 minit, maksudnya solat Subuh mula 6.20 minit. Tidak setakat lambat dibuatnya imam baca lambat campur sangkut (tak berapa lancar). Pasti akan habis solat jam 6.45 pagi.
Sebenarnya imam perlu cari penyelesaian sekiranya Subuh lambat, bacalah surah Sajdah dengan membahagikan untuk dua rakaat. Rakaat pertama baca ayat 1 dari surah Sajdah sampai ayat 22 dan sambung surah yang sama mula dari ayat 23 hingga habis. Ini harus, dan dapat menjaga fadilat sujud sajadah di pagi Jumaat. Janganlah yang sunat itu diperlihatkan seperti wajib, sehingga menggangap kalau tak baca surah Sajdah, tidak sah solat Subuh pagi Jumaat.
Ini sudah bercanggah dengan syariat Rasulullah SAW, baginda hanya menunjukkan yang terbaik, ini bermaksud siapa yang ada kemampuan dan ada waktu serta kelapangan lebih baik buat yang sempurna, tetapi kalau ada hambatan buatlah yang termampu, asalkan yang wajib tidak ditinggalkan.
Ulasan : Buat para Imam, renungkanlah. Tidak salah anda membaca surah al-Sajadah di pagi Jumaat yang mulia, tetapi perhatikanlah dahulu keadaan makmum yang pelbagai lapisan masyarakat ahlinya. - http://rubbertapperz. blogspot. com